Monday, 3 December 2012

Frasa Kerja Pasif


Frasa Kerja Pasif ialah frasa kerja yang bertugas sebagai predikat dalam ayat pasif.

Bentuk frasa kerja pasif diri pertama dan frasa kata kerja diri kedua disebut sebagai bentuk terikat. Oleh itu, kata-kata lain tidak boleh disisipkan di antara kata ganti nama diri dengan kata kerja pasif itu. Contoh:

Salah
Betul
Mangsa kebakaran itu kita patut bantu.
Mangsa kebakaran itu patut kita bantu.
Gambar itu saya akan hantar.
Gambar itu akan saya hantar.
Latihan itu kamu mesti siapkan.
Latihan itu mesti kamu siapkan.

 

Bentuk frasa kerja pasif diri pertama dan frasa kerja pasif diri kedua adalah sama tetapi tidak boleh disamakan dengan bentuk frasa kerja pasif diri ketiga. Contohnya:

Salah
Betul
Kerusi-kerusi itu disusun oleh kami.
Kerusi-kerusi itu kami susun.
Surat itu ditulis oleh kamu?
Surat itu kamu tulis?
Komik itu dibeli oleh saya.
Komik itu saya beli.

 

Bentuk frasa kerja pasif diri ketiga pula tidak boleh disamakan dengan bentuk frasa kerja pasif diri pertama dan frasa kerja pasif diri kedua. Misalnya:

Salah
Betul
Drama itu mereka persembahkan.
Drama itu dipersembahkan oleh mereka.
Lukisan itu dia lukis.
Lukisan itu dilukisnya.

 

BOLEHKAH anda betulkan kesalahan frasa kerja pasif dalam ayat-ayat di bawah??

  1. Kasut ini saya akan cuci pada petang nanti.
  2. Lukisan pemandangan di tepi pantai itu Ali lukis.
  3. Baju yang ibu jahit itu sungguh cantik.
  4. Seminar peperiksaan itu akan Guru Besar rasmikan.
  5. Soalan itu perlu dijawab oleh anda dalam masa tiga minit.

 

JAWAPAN:

  1. Kasut ini akan saya cuci pada petang nanti.
  2. Lukisan pemandangan di tepi pantai itu dilukis oleh Ali.
  3. Baju yang dijahit oleh ibu itu sungguh cantik.
  4. Seminar peperiksaan itu akan dirasmikan oleh Guru Besar.
  5. Soalan itu perlu anda jawab dalam masa tiga minit.

1 comment: