Monday 26 November 2012

JENIS AYAT



Ayat dibahagikan kepada 4 jenis, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah, dan ayat seruan. Berikut merupakan keterangan jenis-jenis ayat berikutan dengan contoh.
Ayat penyata
Ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu pernyataan. Ayat penyata mempunyai tujuan menyatakan atau memberi keterangan tentang sesuatu hal.
Contoh: Bapa membawa kami sekeluarga pergi berkelah di Pantai Port Dickson.
Ayat tanya
Ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu perkara, tempat, benda, manusia, binatang dan sebagainya.
Contoh: Mengapakah Kumar tidak hadir ke sekolah pada hari ini?
Ayat perintah
Ayat yang digunakan untuk menyuruh, melarang, mempersilakan, atau meminta seseorang melakukan sesuatu. Terdapat empat jenis ayat perintah, iaitu : ayat seruan, ayat larangan, ayat silaan dan ayat permintaan.
Contoh: Sila tanggalkan kasut sebelum masuk.
              Usah pergi menziarahi jiran sekarang.
Ayat seruan
Ayat yang diucapkan dengan membawa nada atau intonasi seruan untuk melahirkan suatu keadaan perasaan seperti takut, marah, takjub, geram, sakit dan sebagainya.
Contoh: Nah, ambillah wang kamu dan pergi dari
              sini!
              Cis, berani kamu pukul adik saya!

Sunday 18 November 2012

Nota Kata Tanya

- Digunakan untuk ayat-ayat Tanya.

- Antaranya termasuklah : a. Apakah
                                           b. Siapakah
                                           c. Di manakah
                                           d. Bagaimanakah
                                           e. Kenapakah/ Mengapakah
                                           f. Berapakah
                                           g. Dari manakah
                                           h. Ke manakah

- Contoh penggunaan Kata Tanya yang salah:
a.  Nama sekolah ini siapa?
     Nama sekolah ini apa? (betul)

b.  Macam manakah keadaan ayah kamu?
     Bagaimanakah keadaan ayah kamu? (betul)

c.  Siapakah tajuk buku cerita itu?
     Apakah tajuk buku cerita itu? (betul) 

Daripada contoh-contoh di atas, kita dapat tahu bahawa Kata Tanya Apa hanya boleh digunakan untuk menanyakan nama benda atau haiwan sahaja.

Kata Tanya Siapa boleh digunakan untuk menanyakan nama manusia sahaja.

Kata Tanya Bagaimanakah digunakan untuk mengetahui keadaan atau situasi.

Adik-adik, gunalah Kata Tanya dengan betul ya!

Thursday 8 November 2012

Urutan Melawat Ke Ladang Anggur

Beego  : Selamat pagi, Ai Ling. Bagaimanakah perasaan kamu semasa melawat ke ladang anggur?
Ai Ling : Selamat pagi, Beego. Saya berasa sungguh seronok semasa lawatan itu.
Beego  : Bolehkah kamu ceritakan pengalaman kamu itu kepada saya?
Ai Ling : Boleh. Mula-mula, 1. semua murid diminta berkumpul di sekolah pada pukul 7 pagi.
Beego  : Awalnya. Kemudian?
Ai Ling : Kemudian, 2. kami pun beratur lalu menaiki bas. Cikgu Lim memberitahu kami bahawa kita perlu  
              menjaga keselamatan semasa menaiki bas.
Beego  : Ya, betul. Kita tidak boleh berebut-rebut semasa menaiki bas kerana ini akan berlaku kemalangan.
              Bilakah kamu semua tiba di ladang anggur?
Ai Ling : Kami sampai pada pukul 8.30 pagi. Selepas itu, 3.kami pun dibawa melawat ke ladang anggur oleh 
              pengurus ladang anggur. Dia seorang yang peramah. Dia menerangkan tentang proses menanam 
              anggur dan menunjukkan cara memetik buah anggur kepada kami. 
Beego  : Seronoknya! Adakah kamu memetik buah anggur dengan sendiri?
Ai Ling : Ya, sudah tentu. 4. Saya juga membeli buah anggur yang saya petik itu. Rakan-rakan lain ada yang 
              membeli jus anggur, ada yang membeli kismis dan produk anggur yang lain.
Beego  : Apakah lagi produk anggur yang lain?
Ai Ling : Sabun anggur dan losen anggur.
Beego  : Lain kali, saya akan meminta ibu bapa saya membawa saya ke ladang anggur ini.



Ayat Dasar

Hi, murid-murid...... Tahukah anda apa itu Ayat Dasar?

Ayat Dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa. Ia dapat menjadi ayat dasar kepada ayat-ayat lain. 

4 pola ayat dasar:
~Pola 1 : Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN)
~Pola 2 : Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK)
~ Pola 3 : Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA)
~ Pola 4 : Frasa Nama + Frasa Sendi Nama (FN + FS)


*Saya telah menunjukkan beberapa contoh Ayat Dasar dalam unit Anggur di Malaysia. Bolehlah murid-murid melihat contoh ayat-ayat dasar yang dapat ditulis mengikut gambar-gambar berikut. 



1. Nama saya Ai Ling. 
2. Nama ibu saya Min Suan.
3. Saya ada empat orang adik-beradik. 
4. Kami melihat banyak buah anggur.




1. Keluarga saya melawat ke ladang anggur.
2. Pekerja ladang memetik buah anggur.
3. Kami mengambil gambar di sana.








1. Buah anggur hijau.
2. Buah anggur masak.
3. Saya memetik buah anggur.
4. Buah anggur sangat sedap.




1. Abang Ai Ling ke gerai.
2. Kismis ini untuk adik.
3. Ayah membeli buah anggur.
4. Buah anggur harganya berpatutan.
5. Saya suka makan kismis.
6. Adik suka makan kismis. 




Harap maklumat ini dapat membantu anda dalam pembelajaran!! Sekian......

Wednesday 7 November 2012

Cara Membuat Jem Anggur




JEM ANGGUR

Bahan yang disediakan : a. sekilogram buah anggur
                                     b. setengah kilogram gula pasir

Cara Membuat:

1. Kisar buah anggur sehingga lumat.
2. Masukkan buah anggur yang telah dikisar dan gula pasir ke dalam periuk. Kemudian, kacau sehingga
    masak.
3. Tunggu sehingga jem anggur sejuk. Kemudian, tuang jem anggur ke dalam bekas.


Keistimewaan Ladang Anggur Di Malaysia


- Terdapat pelbagai jenis anggur seperti anggur hitam dan anggur hijau.
- Rasa buah anggur di sini manis.
- Ladang anggur di Malaysia luas.
- Pelawat boleh menikmati pemandangan yang indah di ladang.
- Terdapat gerai yang menjual buah anggur dan produk buah anggur seperti kek, sabun dan losen.


 Daripada ayat-ayat di atas, murid-murid, adakah kamu perhatikan perkataan yang diwarnakan oleh saya?
 Perkataan seperti hitam, hijau, manis, luas dan indah merupakan KATA ADJEKTIF yang ingin disentuh oleh guru dalam topik ini.


Kata adjektif ialah kata yang menerangkan sifat atau keadaan sesuatu kata nama. Kata adjektif juga dikenali sebagai kata sifat. Kata adjektif dapat dibahagikan kepada sembilan jenis, iaitu:

1. Sifat/keadaan - Menerangkan sifat atau keadaan sesuatu kata nama/frasa nama.

2. Warna - Menunjukkan warna sebagai unsur keterangan sesuatu kata nama/frasa nama.

3. Ukuran - Menunjukkan ukuran sebagai unsur keterangan kata nama/frasa nama.

4. Bentuk - Menerangkan rupa bentuk sesuatu kata nama/frasa nama.

5. Waktu - Menunjukkan maksud masa sebagai unsur keterangan.

6. Jarak - Menunjukkan maksud jarak atau penerang kepada kata nama/frasa nama.

7. Cara - Menunjukkan keadaan atau ragam sebagai unsur penerang kata nama/frasa nama.

8. Perasaan - Menunjukkan maksud perasaan sebagai unsur keterangan kata nama/frasa nama.

9. Pancaindera - Menunjukkan maksud sifat, keadaan atau rasa yang dapat dikesan oleh pancaindera.



Tuesday 6 November 2012

bUmI BerTuAh~~

          Sebagai rakyat Malaysia, kita adalah bertuah kerana bentuk bumi Malaysia bukan sahaja stabil, malah boleh ditanam pelbagai jenis tumbuhan yang mendatangkan buah. Contoh buah-buahan tempatan yang ditanam di Malaysia ialah buah tembikai, buah rambutan, buah durian, buah langsat, buah mangga, buah limau, pisang, buah betik, buah anggur dan buah strawberi.

       
          Selain itu, Malaysia sesuai untuk menternak banyak binatang seperti ayam, itik, lembu susu dan  kambing. Haiwan-haiwan ini memprodukkan daging, susu, telur dan kulit.

     


         Di tanah tinggi pula, peladang teh dapat mengusahakan ladang teh dengan berjaya. Daun-daun teh yang dihasilkan daripada ladang tinggi adalah berkualiti tinggi dan enak diminum. Contoh tanah tinggi yang iklimnya sesuai ditanam pokok teh ialah Ladang Tinggi Cameron dan Ladang Tinggi Kinabalu.

          Jadi, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya selalu bersyukur kepada Tuhan kerana mengurniakan tanah Malaysia yang tidak menimpa tragedi semula jadi dan kaya dengan pelbagai jenis hasil tempatan.


Monday 5 November 2012

TenTANG aNGguR yaNg EnAk~~

Varieti


Terdapat empat varieti anggur yang sesuai di tanam di Malaysia iaitu varieti IAC, Black Queen, Black Opal dan New White Malaga. Varieti IAC mempunyai buah berwarna hijau yang matang dalam tempoh 8-12 bulan. Varieti Black Queen mempunyai buah berwarna kehitaman yang matang dalam masa 9-12 bulan sementera Varieti Black Opal mempnyai buah berwarna hitam kebiruan yang matang selama 10-12 bulan. Manakala varieti New white Malaga matang dalam tempoh 10-12 bulan dan buahnya berwarna hijau.

Khasiat anggur

  • Kandungan vitamin C yang tinggi.
  • Khasiat lain termasuk vitamin A, B1, B2.
  • Mempunyal kalori yang rendah.
  • Mengandungi 80 peratus air dan sumber yang bagus bagi kalium.
  • Mengandungi phytonutrien, bahan aktif dipercayai melindungi badan manusia daripada bahan dan penyakit jantung.

Penanaman


Anggur sesuai ditanam di atas tanah liat berpasir dengan pH antara pH 5.5 - 6.5 serta mempunyai saliran air yang baik. Kawasan perlu disediakan dengan mengemburkan tanah dan bubuh baja organik secukupnya. Bagi kawasan rendah disyorkan buat batas tanaman bagi mngelakan pokok terendam dan akan mati. Benih anggur boleh didapati daripada tut dan keratan. Benih dalam polibeg berumur 3 bulan boleh ditanam. Jarak penanaman disyorkan bagi anggur adalah 1.5 meter x 3 meter. Berikan baja asas sebanyak 4 kg baja organik (tahi ayam diproses) dan CIRP sebanyak 120 gram. Penanaman angur di Malaysia sesuai dengan menggunakan struktur kalis hujan terutama di kawasan yang banyak hujan melebihi 800 mm setahun dan boleh ditanam tanpa kalis hujan di belah Utara iaitu Kedah dan Perlis.

Tanaman anggur perlu dicantas untuk pembentukan dahan sehingga 1.8 meter tinggi dan pembesaran batang utama. Kayu sokong diperlukan bagi mampastikan batang utama tumbuh menegak. Pokok anggur juga perlu dicantas bagi pengeluaran dahan dan pemangkasan untuk mengalakkan bunga dan buah. Bagi pemangkasan pengeluaran dahan potong 2-3 dahan sekunder sepanjang 1 meter sehinga 4 cabang. Cantasan pembungaan dan pembuahan dibuat dengan membuang semua daun anggur sehingga habis serta buang dahan yang masih hijau (Lihat foto sebelah). Tinggalkan dahan yang berwarna coklat.

Para untuk tanaman anggur perlu dibuat supaya pokok anggur dapat menjalar dan memudahkan pengeluaran hasil. Ketinggian para bergantung kepada kesesuaian antara 5-6 kaki bagi memudahkan kerja pengurusan. Pembajaan dijalankan dengan baja NPK 15:15:15 sebanyak 20 gram/ pokok/ bulan dan 20 gm urea pada bulan ke 3 hingga ke 6. Pada bulan ke 7-9 diberikan NPK 12:12:17:2 kepada 100 gm/ pk/ bulan dan bulan ke 10-15 sebanyak 150 gm/ pk/ bulan. Pokok anggur yang berumur lebih 16 bulan dibaja NPK 12:12:17:2 sebanyak 300 gm / pk/ bulan. Penyemburan baja daun atau baja foliar (seperti Grofas) yang dicampur racun kulat dan racun serangga membantu pembesaran dan pembentukkan buah anggur.

Penanaman anggur di Malaysia perlukan guna hormon asid giberelik sebanyak 1 ppm ( 1 g + 1,000 liter air) yang disembur hari ke 7 selepas pemangkasan buah. Ini adalah untuk menggalak pengeluaran bunga dan buah. Sembur pada waktu pagi sebelum jam 9.00 pagi atau petang selepas jam 5.00 petang kerana keberkesanan GA kurang bila kena panas (Cepat kering). Keperluan pengairan tanaman anggur penting sekitar 8-11 liter sepokok sehari. Berhentikan pengairan 1-2 bulan sebelum buah anggur masak untuk tambah kemanisan buah anggur.

Penyakit dan perosak    


Anggur mudah diserang penyakit seperti antraknos (Collectroticum spp) yang menyerang pucuk dan buah dikawal menggunakan racun yang sesuai. Penyakit lain ialah karat yang menyerang daun dan buah. Penyakit kulapuk berdebu antara penyakit merbahaya jika tidak dikawal akan menyebabkan pokok layu atau mati. Kawalan racun kulat terkawal dapat atasi masalah serangan penyakit.

Maksud anggur ~~~

Anggur (Vitis spp) ialah tumbuhan beriklim sederhana dari keluarga Vitaceae yang digunakan sebagai buah segar dan diproses untuk dibuat minuman, kismis, jus, wain dan sebagainya. Penanaman anggur banyak di negara beriklim sub-tropika atau sederhana sejuk dan kini telah ada varieti yang telah sesuai diadaptasikan dengan iklim tropika. Terdapat banyak spesis tanaman anggur di dunia dan telah dikhususkan untuk kegunaan penanaman. Tanaman anggur di Malaysia masih baru dan dalam peringkat pembangunan lagi. Thailand dan Indonesia telah maju dalam industri penanaman anggur berbanding dengan Malaysia. Penanaman anggur di Malaysia cuma dimulakan sekitar tahun 1980'an.

Negeri Perlis adalah antara negeri yang maju dalam penanaman anggur. Ini kerana sifat semulajadi pokok anggur yang perlukan musim kemarau 3-4 bulan untuk menggalakan ia berbunga dan berbuah. Tanaman anggur perlukan cahaya matahari yang banyak dan curahan hujan yang kurang dari 800 mm setahun. Penyiraman atau hujan akan mengganggu kadar pengeluaran buah. Suhu yang sesuai antara 31 celsius dan suhu minima tidak kurang 21 celcius dengan kelembapan diperlukan lingkungan 75-80%.

Daun anggur itu sendiri boleh dimakan dan digunakan bagi menghasilkan hidangan dolma. Pokok anggur seringkali digunakan sebagai pokok makanan untuk sesetengah larva dari order Lepidoptera. Anggur liar seringkali dianggap rumpai, kerana ia menutupi tumbuhan lain disebabkan pertumbuhannya yang pantas.Anggur ialah tanaman saka menjalar yang menghasilkan buah berbentuk bulat. Buahnya adalah jenis klimakterik.